Saturday, December 1, 2007

Mencari Damai di Daerah Persinggahan Nan Permai

Kehidupan ini suatu anugerah. Anugerah yang paling bernilai setelah anugerah iman dan islam. Ia merupakan suatu anugerah hakiki dan abadi jika seseorang menjalaninya dengan hakikat kehambaan dirinya yang murni. Namun, disebabkan ramai dari kalangan manusia yang terhijab daripada hakikat sesuatu, mula mencari-cari rahsia kehidupan ini. Dek terperangkap di bawah tempurung musibah dan corak kehidupan, mereka mula mempersoalkan : “benarkah hidup ini suatu anugerah?”.


Di sekitar kefahaman manusia terhadap kehidupan di dunia ini, ada tiga jenis golongan manusia yang utama. Pertama, suatu golongan manusia yang merasakan, sememangnya kehidupan ini suatu anugerah dan kenikmatan yang mutlak, tanpa sebarang tugas dan tanggungjawab.




Mereka merasakan bahawasanya, hidup ini sekadar untuk mengecap segala sesuatu yang membawa kepada kepuasan nafsu diri yang tamakkan duniawi. Mereka tidak percaya atau seolah-olah tidak percaya bahawasanya, ada suatu kehidupan lain, dan mengingkari samada secara langsung ataupun tidak, terhadap kebangkitan dan pembalasan setelah kematian. Mereka hidup tanpa tanggungjawab, bebas laksana haiwan yang melata di muka bumi ini, bahkan turut digambarkan di dalam Al-Qur’an, sebagai golongan manusia yang lebih sesat daripada haiwan, kerana tidak menggunakan akal yang dianugerahkan kepada mereka.


Golongan ini, zahirnya kelihatan bahagia, tetapi batinnya penuh kekosongan dan kebingungan. Hati kecilnya sentiasa menyalahkan corak kehidupan umpama kebinatangan ini, kerana merasakan bahawasanya, nilai kehidupannya seharusnya lebih tinggi daripada sekadar makan, tidur, berkahwin, minum dan sebagainya, bagaikan haiwan yang sekadar mengejar kepuasan syahwat diri.


Terkadang, mereka terasa kekosongan, walaupun hidup di tengah-tengah mahligai yang tersergam, yang dihiasi dengan ribuan jariah dan teman. Kadang-kala, mereka terasa kehilangan nilai kehidupan, walaupun harta yang berjuta-juta tersimpan di dalam peti-peti simpanan.


Golongan kedua pula ialah, suatu golongan manusia yang merasakan bahawasanya, kehidupan ini suatu neraka yang menyiksakan. Mereka seolah-olah berputus asa daripada kebahagiaan hidup di dunia ini sendiri, sehingga merasakan bahawasanya, kematian itu lebih baik daripada kehidupan.


Mereka berputus asa daripada kehidupan kerana latar belakang kehidupan mereka, dihiasi dengan calar-calar hitam musibah yang menimpa wajah kehidupan mereka. Mereka terasa, bebanan kehidupan ini terlalu sukar sehingga ada yang sampai menafikan kewujudan tuhan dek terlalu melihat zahir kehidupan tanpa memahami rahsia dan hakikat sebenarnya dirinya diciptakan.


Golongan ini sentiasa berbolak-balik, antara ingin meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini, atau untuk menamatkannya. Jika dia ingin menamatkannya, dia sendiri tidak pasti, apakah yang ada setelah tamat kehidupannya itu, samada dia akan terus berehat selamanya, ataupun masih ada lagi kehidupan setelah kematian yang lebig mendukacitakan.


Hakikatnya, kedua-dua golongan tadi tidak pernah mengecapi kebahagiaan yang hakiki di dunia ini lagi, bahkan kehidupan setelah kematian mereka, yang lebih malang lagi, sedia menanti.


Dua golongan ini hidup tanpa suluhan wahyu Ilahi dan fathu (pembukaan) Rabbani. Mereka terperangkap dalam kepompong zahir dunia yang dihiasi dengan “sebab-akibat” dan kebendaan yang membutakan mata hati. Akhirnya, hidup ini bagi mereka, hanyalah sekadar fatamorgana. Apa yang mereka sangka tentang dunia, tidak ubah seperti musafir dalam dahaga, melihat fatamorgana di tengah-tengah terik sahara.


Mereka berlari menuju persepsi mereka terhadap dunia dan keduniaan, akhirnya yang mereka temui hanyalah kekecewaan. Yang menganggap dunia ini suatu tempat kenikmatan mutlak, setelah mati mendapati, hidup ini tempat mengumpul bekalan cuma. Mereka yang menganggap dunia ini tempat musibah mutlak, setelah mati mendapati bahawa, hidup tadi sebenarnya sekadar tempat ujian. Akhirnya, mereka berkata, di hadapan Allah s.w.t. di hari Kiamat kelak: “Kami tidak hidup di dunia melainkan sekadar satu hari atau separuh hari sahaja”.


Golongan ketiga, merupakan golongan yang menjalani kehidupan mereka dengan sebenar-benar makna kehidupan. Mereka adalah, golongan yang memahami bahawasanya, hidup itu suatu anugerah dan tempat ujian, yang mana ujian itu juga merupakan anugerah (dari kaca mata hakikat), dan hidup ini merupakan tempat persinggahan bagi mengumpul bekalan untuk hari kemudian, yang kekal abadi.




Mereka adalah golongan yang menterjemahkan makna firman Allah s.w.t.: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” dalam segenap kehidupan mereka. Akhirnya, setiap corak dan bentuk kehidupan mereka, dipandu dengan kehambaan mutlak hanya kepadaNya. Akhirnya, tiada kekecewaan lagi dalam kehidupan ini, kerana dia bukan hidup bersendirian, dengan keupayaan dirinya sendiri, tetapi hidup dengan Allah s.w.t., dalam kebersamaan denganNya, dan dengan menyandarkan kelemahan diri kepada kekuasaan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.


Mereka menjadikan kebersamaan dengan Allah s.w.t. sebagai resepi kebahagiaan mereka di dunia, bahkan menjadi jambatan kepada kebahagiaan mereka di akhirat kelak. Bermula dengan mengamalkan seluruh perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala laranganNya dalam usaha merealisasikan kehambaannya kepadaNya dengan neraca syarak, akhirnya mereka dilimpahi suluhan hakikat daripada Allah s.w.t. sehingga terbit di hati mereka, hikmah-hikmah dan kefahaman yang tinggi, tentang hakikat diri sendiri, hakikat kehidupan dan hakikat Allah s.w.t. sesuai dengan kadar yang diizinkanNya.



Allah s.w.t.-lah sumber kebahagiaan mereka, sumber keriangan mereka, sumber ketenangan mereka, sumber kecintaan mereka, bahkan sumber keabadian mereka dalam kebahagiaan, walaupun di tengah-tengah huru-haranya dunia dan keduniaan. Tabir zahir kekalutan duniawi tersingkap, dek limpahan naungan dan hakikat daripadaNya mencurah-curah ke dalam hati mereka. Mereka mula melihat apa yang di luar tempurung kehidupan, samada pahitnya mahupun manisnya.


Penawar mereka takkala dirundung masalah di dunia ialah, tawakkal dan tafwidh (menyerahkan urusan dan ketentuan) kepada Allah s.w.t.. Pengubat kepedihan mereka dalam menghadapi ujian dan bala hanyalah dengan redha terhadap ketentuanNya, dan keyakinan bahawasanya, Allah s.w.t. tidak pernah mensia-siakannya, dan setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya daripadaNya. Baik sangka terhadap Allah s.w.t. merupakan penyeri kehidupan mereka sehingga, setiap ketentuan, baik dan buruknya, diserahkan kembali kepadaNya, samada dalam bentuk kesabaran (takala dirundung seribu satu kesusahan) dan kesyukuran (takkala disirami seribu satu kesenangan).


Kehidupan mereka bagaikan anugerah dalam anugerah, kerana ikatan antara mereka dengan Allah s.w.t. sekukuh-kukuhnya di bawah naunganNya. Ikatan itu juga dikenali dengan zikir. Ia bukan sekadar zikir yang difahami oleh orang awam, iaitu sekadar zikir lisan, bahkan ia merupakan zikir hati dalam kebersamaanNya yang sentiasa tidak pernah mensia-siakan para hambaNya dan zikir sir dalam musyahadah keagungan dan kecintaanNya kepada para hambaNya.


Inilah zikir yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an yang berbunyi: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (28) Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya. (29)” (Surah Ar-Ra’d: 28-29).


Maksud ayat “…beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan…” bererti, suatu kebahagiaan sejak di dunia
lagi. Ini kerana, setelah itu, disambung dengan ayat yang berbunyi: “…dan tempat kembali yang sebaik-baiknya”. Bererti, kebahagiaan itu di dunia dan setelah itu, di akhirat juga akan mendapat tempat yang sebaik-baiknya.


Zikrullah dalam maksud ayat di atas bererti: “Mengingati Allah s.w.t., samada dengan perturutan, perbuatan, mahupun dengan hati”.


Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan pertuturan bererti, sentiasa berzikir dengan memuji-muji dan menyebut nama-namaNya, berbicara tentang hal-hal kebaikan sahaja, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran dan bercakap untuk tujuan ketaatan semata-mata.


Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan perbuatan pula adalah dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya, hanya semata-mata keranaNya, bukan kerana selain daripadaNya.


Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan hati adalah dengan sentiasa menjaga niat dan keikhlasan dalam beramal, sentiasa merasakan diri diawasinya dan sentiasa merasa kehadiranNya di sisi, sebagai pembantu yang tidak pernah mensia-siakannya serta berakhlak dengan akhlak-akhlak hati yang mulia seperti tawadhuk, jujur, baik sangka dan sebagainya.


Apabila seseorang berjaya melakukan hal-hal sedemikian, maka, dia telah menjadikan keseluruhan kehidupannya sebagai “zikruLlah” dan kehambaan kepadaNya.

Hasilnya, kehidupannya, samada baik atau buruknya, dirasakan baik semata-mata, kerana jika ditimpa sesuatu kebaikan, maka dia melihat kebaikan tersebut daripadaNya sebagai tanda kecintaanNya kepadanya. Maka, dia akan mempersembahkan simbol kecintaannya kepadaNya pula dengan kesyukuran kepadaNya.


Adapun jika dia ditimpa sesuatu keburukan, maka dia akan melihat musibah tersebut daripadaNya, sebagai suatu ujian untuk menilai cintanya kepadaNya, yang mana, ujian untuk menilai cintanya itu juga sebagai tanda cintaNya kepadanya, kerana sesiapa yang menguji seseorang untuk mengetahui nilai cintanya kepadanya (yang menguji tersebut), bererti, dia (yang menguji) telah terlebih dahulu mencintainya atau sudi untuk mencintainya. Kalau memang tidak sudi, maka tidak akan menguji. Jadi, si hamba akan membuktikan nilai cintanya kepadaNya dengan kesabaran dalam menghadapi musibah dan ujian tersebut. Akhirnya, baginya (hamba tersebut), semua yang berlaku dalam kehidupannya merupakan suatu kebaikan, kerana dia sudah menjangkau sempadan zahir corak keduniaan, dan melihat hakikat Dia yang mengujinya di sebalik corak keduniaan tersebut, sebagai simbol kecintaanNya kepadanya.


Hal ini merupakan terjemahan realiti daripada maksud hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi: “Saya kagum dengan urusan orang mu’min (orang yang beriman kepada Allah s.w.t.). Urusan (kehidupannya) semuanya baik untuknya. Jika dia ditimpa suatu kebaikan, lalu bersyukur, maka ia baik untuknya. Jika dia ditimpa sesuatu kemudaratan, lalu bersabar, maka ia juga baik untuknya…


Hakikatnya, baik atau buruk kehidupan seseorang itu, bukanlah pada kenikmatan duniawi ataupun musibahnya, tetapi pada bagaimana seseorang itu merealisasikan kehambaannya di hadapanNya dalam segenap keadaan dalam hidupnya.


Seseorang yang cuba menghayati perbahasan ini dan berusaha (dengan sentiasa meminta bantuan daripadaNya juga) untuk menterjemahkan kehambaan dalam segenap kehidupannya, maka di sanalah letaknya kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Jangan tertipu dengan corak material dan kebendaan yang melingkari jasmani kita, tetapi ikatlah kerohanian kita denganNya dalam kebersamaan denganNya, sehingga boleh membawa kepada musyahadahNya (dengan izinNya) dan menjadikan seluruh kehidupan kita berada dalam mafhum (kefahaman) yang sahih iaitu: kehambaan dan zikruLlah.


Hidup ini tidak sulit, kalau kita tahu siapa di sebalik kesulitan tersebut. Dia yang meletakkan kita ke dunia, dengan penuh kecintaan kepada kita, tidak pernah meletakkan kita di dunia semata-mata untuk kesulitan selamanya, tetapi di sebalik kesulitan itu, ada makna kecintaanNya iaitu untuk menguji kecintaan kita kepadaNya. Seseorang yang berjaya membuktikan bahawasanya, dia menghargai kecintaanNya kepadanya, maka dia akan mendapat kebahagian maknawi yang abadi sejak dari dunia, dan kebahagiaan jasmani di akhirat terutamanya, yang kekal buat selama-lamanya.


Hidup ini tidak terlalu sempit, kalau kita tahu siapa di sebalik kesempitan tersebut. Kalaulah seseorang mengenal hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat Tuhan di sebalik segenap corak kehidupannya, pasti tiada lagi kesempitan dalam kamus kehidupannya, kerana dia sudah bersemayam di singgahsana kelapangan yang abadi dalam kebersamaanNya.


Al-Imam Ibn ‘Atho’illah as-Sakandari r.a. pernah berkata dalam munajatnya: “Wahai Tuhanku. Apalah lagi yang tidak dimiliki oleh sesiapa yang sudahpun memilikiMu (cintaMu dan kebersaman denganMu). Dan, apalah pula yang dimiliki oleh sesiapa yang tidak memilikiMu (tidak memiliki cintaNya dan berjauhan daripadaNya).


Hidup ini, coraknya sememangnya tidak pasti. Tetapi, kebahagiaan itu pasti, menurut janji Tuhan yang azali. Corak kehidupan bukanlah penentu kebahagiaan hakiki, tetapi corak kehambaan kita dalam berinteraksi dengan corak kehidupan tersebut di hadapanNya itulah, penentu kebahagiaan abadi, maka fahamilah. Janganlah terhijab dengan yang tidak pasti, tetapi carilah yang pasti dari yang Maha Pasti Menunaikan Janji.


Wallahu a’lam…


Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:


Al-Faqir ila Afwi Rabbihi…


Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin


7 Ogos 2007, Kuala Lumpur


No comments:

ZikruLlah

Photobucket

Ya Allah

Photobucket

MyCartopia.com Click here to get one