Thursday, November 1, 2007

Galakan untuk Baik Sangka kepada Allah s.w.t.






Allah s.w.t. berfirman dalam sepotong hadis qudsi: "Aku pada sangkan hambaKu tentangKu dan Aku bersama denganNya takkala dia mengingatiKu…" (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim),

Imam Al-Asqolani r.a. memberi penjelasan: " Firman Allah s.w.t. dalam hadis qudsi tersebut "Aku pada sangkaan hambaKu tentangKu…" bermaksud: jika seseorang hamba itu menyangka bahawasanya, Aku (Allah s.w.t.) menerima amalannya yang baik, Aku akan memberi pahala ke atas amalannya dan Aku akan mengampuninya takkala dia meminta ampun, maka baginya segala apa yang disangkakannya itu, daripadaKu. Adapun jika dia menyangka terhadapKu sebaliknya (buruk sangka), maka baginya juga apa yang dia sangkakan tentangKu.

"Adapun kefahaman yang paling tepat itu ialah pertengahan, iaitu, sama antara takut dan harap kepada Allah s.w.t.. Seseorang hendaklah berusaha untuk melaksanakan tugas-tugas kehambaannya kepada Allah s.w.t., dengan baik sangka, bahawasanya, Allah s.w.t. akan menerima amalannya, Allah s.w.t. akan mengampunkan kekurangannya dalam amalan tersebut, kerana Allah s.w.t. menjanjikan kepadanya sedemikian, dan Dia tidak mengingkari janji.

"Kalaulah dia berprasangka dengan sangkaan yang buruk, maka ia akan membawa kepada putus asa dari rahmat Allah s.w.t., yang mana ia merupakan antara dosa-dosa besar. Jika dia mati dalam keadaan buruk sangka tersebut, maka itulah yang akan didapatinya setelah kematiannya.

"Adapun sesiapa yang berbaik sangka terhadap keampunan Allah s.w.t., namun dalam masa yang sama, masih sering melakukan maksiat dengan sengaja, (tanpa rasa bersalah), maka dia merupakan seorang yang jahil lagi tertipu."

Sesungguhnya, dalam kehidupan yang serba mencabar ini, seseorang terkadang pasti akan merasa dibebani oleh bebanan masalah dan musibah. Apabila seseorang dirundung musibah, dan tiada lagi asbab untuk keluar dari musibah tersebut, akhirnya fitrah hati seseorang akan mencari Allah s.w.t., Tuhan di sebalik musibah dan ketentuan tersebut.

Namun, ada pelbagai jenis manusia takkala menghadapi lintasan fitrah tersebut. Ada yang tidak mengendahkannya sama sekali dan terus bergantung kepada keupayaan diri akibat keegoan diri dan rasa besar diri.

Ada juga yang mula mencari Allah s.w.t., di sebalik setiap ujian yang berlaku terhadap dirinya, tetapi dalam bentuk menyalahkan Allah s.w.t. terhadap ketentuanNya ke atasnya.

Kadang-kala, luahannya seolah-olah dengan berkata: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau bebankan daku dengan musibah? Engkau tidak sayangkan akukah? Kenapa Engkau tidak bantuKu?" dan sebagainya.

Ini merupakan golongan yang biadab dan buruk sangka dengan Allah s.w.t.. Mereka sememangnya tidak pernah mendapatkan sebarang manfaat daripada bersikap buruk sangka terhadap Allah s.w.t.. Setinggi mana buruk sangka seseorang terhadap Allah s.w.t., tidak sama sekali mampu mencabar Allah s.w.t. dan menjatuhkanNya, serta menolak segala ketentuanNya. Bahkan, dengan buruk sangka tersebut, akan datang lebih banyak musibah sesuai dengan prasangkanya yang buruk terhadap Allah s.w.t.

Seseorang yang buruk sangka kepada Allah s.w.t. tidak pernah mampu menggugat kerajaan Allah s.w.t. dan tidak pernah mampu bermusuhan denganNya. Kepada siapa dia ingin mengadukan akan sangkaannya terhadap Allah s.w.t.? Kepada siapa lagi selain daripadaNya, untuk dia mengadu dan meminta pertolongan, sedangkan hanya Dialah yang Maha Berkuasa dalam membantunya takkala ditimpa musibah.

Kadang-kala, manusia sendiri yang lupa, bahawasanya, segala musibah dan ujian, ada hikmah di sebaliknya, samada untuk membersihkan dosa-dosa kita yang telah lalu, atau untuk menyedarkan kita daripada kelalaian, ataupun untuk meningkatkan lagi maqam kita dengan kesabaran. Inilah antara hikmah di sebalik setiap ujian. Yang paling penting bukanlah memahami setiap hikmah di sebalik setiap ketentuan, tetapi yang paling penting ialah, kita berbaik sangka kepadaNya.

Seorang bayi, apabila ditegah oleh ibunya daripada memakan sebarang makanan melainkan susu semata-mata, perlu baik sangka dengan ibunya untuk terus membesar kerana si ibu yang melahirkannya, pasti tidak akan menegahnya daripada mendapatkan kebaikan. Jadi, dia menegah bayi tersebut, pasti ada hikmahnya. Walaupun bayi tersebut tidak tahu hikmah tersebut, tetapi, kecintaan kuat antara si ibu dan anaknya, membuatkan bayi itu mampu berbaik sangka dengan si ibu, kerana meyakini bahawasanya, ibunya sentiasa memberikan yang terbaik untuknya.

Itu antara si ibu dan si bayi, bagaimana pula perbandingannya antara kita, sang hamba yang jauh lebih memerlukan Allah s.w.t. daripada si anak memerlukan si ibu, dengan Allah s.w.t. yang jauh lebih penyayang daripada si ibu tersebut?

Allah s.w.t. tidak menentukan sesuatu ketentuan, melainkan di sebaliknya ada hikmahnya. Seseorang yang buruk sangka akan diharamkan daripada hikmah tersebut, dan akan terus dibebankan sesuai dengan buruk sangkanya kepada Allah s.w.t..

Sesungguhnya, hidup ini tempat ujian. Jika seseorang memahami makna tersebut, pasti akan terus berbaik sangka dengan Allah s.w.t., terhadap setiap ketentuanNya. Buruk sangka malah merugikan diri sendiri, sedangkan dengan baik sangka, seseorang bukan sahaja mendapat pahala daripadaNya, tetapi mendapat layanan yang baik daripadaNya setelah itu, sesuai dengan baik sangkanya kepadaNya.

Jenis ketiga daripada manusia adalah, orang-orang yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah s.w.t.. Penghulu golongan ini ialah Saidina Rasulullah s.a.w.. Lihatlah sahaja untaian mutiara doa Baginda s.a.w. takkala dibaling dengan batu oleh penduduk Tha'if. Baginda s.a.w. sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan Kekesih Abadinya.

Takkala Baginda s.a.w. duduk di kawasan kebun, setelah dilempari batu oleh penduduk Tha'If, lalu Baginda merintih di hadapan Allah s.w.t. seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku. Wahai Tuhan bagi orang-orang yang lemah. Kepada siapakah Engkau ingin campakkan aku? Kepada orang-orang yang berkuasa agar mereka mempergunakanku? Atau kepada orang-orang zalim agar mereka menindasku? Asalkan, Engkau tidak memurkaiku, maka (apa sahaja yang Engkau mahu lakukan ke atasku), aku sudah tidak peduli. Sungguhpun begitu, rahmatMu terasa lebih luas bagiku berbanding semua itu (berbanding ujian tersebut)."

Nah, lihatlah untaian munajat Baginda Nabi s.a.w. di hadapan Kekasih Agungnya. Baginda s.a.w seorang nabi, yang hanya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh Allah s.w.t., namun, takkala Allah s.w.t. menentukan ada dari kalangan umatnya yang menentangnya, Baginda s.a.w. terus berbaik sangka dengan Allah s.w.t.. Baginda tahu, semua itu sekadar ujian, untuk melihat kesabarannya. Oleh kerana itu, Baginda s.a.w. bersabda: "Asalkan Engkau tidak memurkaiku, maka aku tidak peduli". Baginda s.a.w. pasrah dengan setiap ujian tersebut, selagimana ianya suatu simbol kecintaan daripada Allah s.w.t.. Segala ujian tersebut, biarpun pahit dirasa, tetapi kemanisan baik sangka Baginda s.a.w. terhadap Tuhannya, menjangkau kepahitan tersebut, sehingga akhirnya Baginda s.a.w. bersabda: "…Sungguhpun begitu, rahmatMu terasa lebih luas bagiku berbanding semua itu (ujian tersebut)"

Kepahitan ujian bisa hilang dengan kemanisan baik sangka seseorang kepada Allah s.w.t., dalam dirinya. Inilah pintu kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Tetapi ingat, baik sangka tidak membawa seseorang kepada sifat malas dalam beramal, dan terus melakukan dosa. Ini kerana, hal sedemikian bukanlah suatu baik sangka, tetapi suatu sikap mempermain-mainkan kemuliaan sifat Allah s.w.t., dan ini lebih buruk daripada buruk sangka itu sendiri. Ini merupakan antara sifat-sifat orang munafiq.

Sesungguhnya, jika seseorang itu baik sangka terhadap Allah s.w.t., pasti baik amal ketaatannya di hadapan Allah s.w.t.. Kalau seseorang itu terus dengan kelalaian dan dosa, dan tidak rasa bersalah sama sekali, namun masih merasakan Allah s.w.t. mahu mengampuninya, itu tidak akan berlaku kerana dia sendiri seolah-olah tidak merasakan dirinya bersalah dan berdosa, jadi dosa apa yang akan diampunkan oleh Allah s.w.t. dari dirinya Bahkan, itulah sikap buruk sangka terhadap Allah s.w.t. dalam bentuk baik sangka. Dia tidak mampu menipu sesiapa melainkan sekadar menipu dirinya sendiri.

Baik sangka kepada Allah s.w.t. itu suatu motivasi untuk meningkatkan lagi kualiti kehambaan dan ketaatan seseorang kepada Allah s.w.t., bukan membawa kepada sifat malas dan sambil-lewa. Jadi, sebarang rasa baik sangka kepada Allah s.w.t. yang boleh membawa kepada malas, haruslah ditangani dengan perasaan takut terhadap Allah s.w.t., sambil mengharapkan rahmat dan bantuanNya.

Baik sangka terhadap kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita merupakan suatu baik sangka yang paling tinggi, kerana ia akan menjadikan seluruh kehidupan kita, pahit manisnya, terasa lazat dengan kelazatan iman dan baik sangka terhadapNya. Usahakanlah berbaik sangka dengan Allah s.w.t., nescaya dengan baik sangka tersebut, suatu masa nanti, akan terzahirlah hakikat Allah s.w.t. itu sememangnya Maha Baik dalam diri kita.






Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil



Ahmad Mukhlis Al-Razi






No comments:

ZikruLlah

Photobucket

Ya Allah

Photobucket

MyCartopia.com Click here to get one