Saturday, December 1, 2007

Kefahaman terhadapNya, Nikmat yang agung dariNya


Sheikhna (guru kami) Sheikh Yusuf Al-Hasani (semoga Allah s.w.t. memelihara beliau dan seluruh umat Islam) pernah berkata: “Rezeki itu ada dua jenis. Pertama, rezeki jasmani. Kedua, rezeki rohani. Rezeki jasmani adalah seperti makan, minum dan sebagainya. Adapun rezeki rohani adalah seperti zikir, rasa kerbersamaanNya dan kefahaman terhadapNya.


Rezeki yang paling berharga bagi manusia ialah, kefahaman terhadapNya. Kalaulah seseorang manusia, hanya melihat nilai rezekinya hanya sekadar pada makanan, minuman, pakaian dan sebagainya, yang merupakan rezeki jasmani, maka dia meletakkan nilainya seperti nilai binatang.


Sesungguhnya, nilai manusia lebih daripada itu (binatang), maka nilai rezeki mereka lebih daripada itu. Adapun kefahaman mengenai Allah s.w.t. merupakan rezeki yang abadi. Dengan kefahaman tersebut, seseorang itu mempunyai kekenyangan yang tiada lagi lapar setelahnya. Biarpun lapar jasmani, kalau rohani sudah kenyang dengan kefahaman tentangNya, maka kekenyangan itu mampu melekakan seseorang daripada kelaparan jasmani.


Akan tetapi, jika rohani lapar daripada kefahaman terhadapNya, maka, biar segunung rezeki jasmani dikumpul oleh seseorang, tetap tidak mengenyangkannya, bahkan, sentiasa bertambah tamak dan semakin tamak. Inilah maksud sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Kalaulah bagi anak Adam itu, dua lembah daripada emas, nescaya ia tidak mencukupi baginya, dan dia akan harap lembah emas yang ketiga. Tidaklah mencukupi bagi mulutnya (perutnya) melainkan tanah”


Apa yang jelas, rezeki jasmani, bagaikan air laut. Makin banyak dihimpun, makin menambah haus. Adapun kefahaman terhadapNya, akan menambahkan kepuasan, ketenangan, warak, qanaah (rasa mencukupi) dan rendah diri di hadapanNya. Bahkan, kefahaman terhadapNya, itu sentiasa bertambah, dan sentiasa mencukupi. Ia abadi dengan keabadianNya.”


Al-Faqir lia HadratiLLah, wal Mufatqir bit Taqsir mengulas sikit dengan bantuan Allah s.w.t.:


Benar, kebahagiaan hidup bersumberkan kefahaman seseorang terhadap Allah s.w.t.. Inilah yang merupakan nadi bagi kehambaan, yang merupakan nadi bagi kehidupan, sesuai dengan ayat Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” Maka, kebahagiaan hidup bersumberkan sejauh mana terealisasinya makna kehambaan dalam diri kita.


Seseorang, takkala mengenal Allah s.w.t. dan memahami hakikat kehidupan ini, sebagai tempat ujian dan tarbiah daripadaNya, pasti merasai cukuplah Allah s.w.t. bagiNya. Inilah rasa yang tertinggi dalam ketenangan hidup seseorang.


Carilah kefahaman tentangNya dalam kehambaan. Carilah kehambaan dalam ibadah. Carilah ibadah dalam mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Carilah redhaNya dalam ketaatan, sebagai hambaNya. Mudah-mudahan, Allah s.w.t. memahamkan kita akanNya. Utamakan pandangan Allah s.w.t. daripada pandangan makhluk. Jagalah hati dengan hiasan-hiasan sifat mahmudah dan jauhinya daripada mazmumah.


Semoga Allah s.w.t. memahamkan kita perjalanan menujuNya dan seterusnya memahamiNya sesuai dengan izinNya.

Disusun dengan izin Allah s.w.t. oleh

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Sunday, November 4, 2007

"Jadikan Harimu KeranaNya"- Sheikh Ibn Qayyim

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah r.h.l. berkata (dalam buku Al-Fawa'id):

Jika seseorang hamba menjalani hidupnya di waktu pagi dan petangnya, sedangkan tiada yang menjadi fokusnya melainkan Allah s.w.t. semata-mata, maka Allah s.w.t. akan menanggung untuknya akan hajat-hajatnya seluruhnya (Allah s.w.t. akan menunaikannya), Allah s.w.t. akan memalingkan kesusahan daripadanya, dan akan mengosongkan hatinya hanya semata-mata untuk disikannya dengan makrifatNya (mengenaliNya), da menjadikan lidahnya sentiasa memperingatiNya, dan Dia akan menjadikan anggota badannya seluruhnya dalam ketaatan kepadaNya.

Jika seseorang hamba menjalani kehidupannya samada di waktu pagi mahupun petang, sedangkan tiada yang lebih dipentingkannya selain daripada dunia, maka Allah s.w.t. akan memebebankannya dengan bebanan-bebanan dunia dan isinya, sehingga dia akan berduka dan berasa tidak tenang kerana dunia tersebut. Allah s.w.t. akan menyerahkan dirinya kepada dirinya sendiri, tanpa membantunya. Lalu, hatinya sibuk daripada cintaNya, dengan kecintaan kepada dunia yang meletihkan, lidahnya sibuk daripada mengingati Allah s.w.t. dengan mengingati makhluk, dan anggotanya sibuk daripada ketaatan dengan mengejar keduniaan.

Thursday, November 1, 2007

Galakan Taubat








Galakan Taubat daripada Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. menjadikan seluruh hidup ini, sebagai ujian bagi para hambaNya, bagi membezakan dalam kalangan para hambaNya, antara yang jujur denganNya dan yang mendustaiNya.

Di antara ujian tersebut, Allah s.w.t. meletakkan syariat sebagai ukuran bagi mendidik manusia, agar mengutamakan perintahNya daripada kehendak nafsu diri mereka. Sesiapa yang berjaya mengutamakan perintah Allah s.w.t. daripada kehendak nafsu dirinya dengan mengutamakan syariat, maka dia ialah orang yang berjaya, begitulah juga sebaliknya.

Adapun sesiapa yang mengutamakan kehendak nafsuNya daripada perintah Allah s.w.t., dengan melanggar syariatNya, maka dia telahpun menderhakaiNya dengan kemaksiatan. Maka, orang-orang tersebut merupakan orang yang malang terutamanya di Akhirat kelak.

Namun, bagi orang-orang yang melakukan kesalahan, kerana dikuasai oleh nafsu, dan lemah imannya, maka Allah s.w.t. sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan para hambaNya kembali bersimpuh di bawah kebersamaan rahmatNya dengan taubat kepadaNya.

Allah s.w.t. sentiasa menanti kembalinya sang hamba yang berjauhan denganNya dan gembira dengan kepulangan sang hambaNya daripada kemaksiatan kepada ketaatan, lebih daripada gembiranya seorang perantau yang bertemu semula dengan tunggangan dan bekalan musafirnya, setelah kehilangannya.

Nah, sang musafir yang gembira dengan kepulangan haiwan tunggangannya sewajarnya bergembira, kerana dia sememangnya memerlukan kepada haiwan tunggangannya tersebut, agar dapat meneruskan perjalanannya. Oleh yang demikian, kegembiraan sang musafir tersebut bukan kerana mencintai haiwan tunggangannya kerana haiwan tersebut, tetapi kerana ada kepentingan daripada haiwan tunggangannya tersebut.

Adapun Allah s.w.t., yang tidak pernah memerlukan para hambaNya, tidak pernah berhajat kepada para hambaNya, malah terlebih gembira akan kepulangan para hambaNya kembali kepada ketaatan kepadaNya, dan bersimpuh dalam kebersamaanNya, bukan kerana kepentingan diriNya, tetapi kerana cintaNya kepada para hambaNya setulusnya. Inilah nilai cinta teragung daripada Allah s.w.t. yang Maha Agung.

Dia yang sentiasa memberi peluang dan terus memberi peluang kepada para hambaNya, sehinggakan Nabi s.a.w. sendiri yang pernah ditanya, sampai bilakah Allah s.w.t. akan terus memaafkan para hambaNya yang sentiasa bertaubat namun masih mengulangi kesalahannya, lalu bertaubat semula begitulah seterusnya, dengan jawapan: "Allah s.w.t. tidak akan pernah jemu memaafkan para hambaNya yang (jujur) bertaubat kepadaNya sehinggalah hamba itu sendiri yang jemu (daripada bertaubat kepadaNya)".

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggalakkan umat Baginda s.a.w. agar bertaubat, kerana fitrah manusia yang serba lemah dan kekurangan, sentiasa tewas dengan hasutan syaitan dan dorongan nafsu yang mengajak kepad kederhakaan terhadapNya.

Oleh yang demikian, Rasulullah s.w.t. juga bersabda yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang-orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat" (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: "Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah s.w.t. dan minta ampunlah daripadaNya, Sesungguhnya aku sendiri bertaubat kepada Allah s.w.t. setiap hari sebanyak seratus kali" (hadis riwayat Imam Muslim)

Bahkan, Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada para umat Baginda s.a.w. yang sentiasa putus asa terhadap keampunanNya, dengan meyakini keampunan Allah s.w.t. yang Maha Luas. Pintu taubat sentiasa terbuka, bagi para hambaNya yang ingin kembali kepadaNya, keranaNya, dan dengan bantuanNya.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. melebarkan tangan (sifat Maha PemurahNya) di malam hari untuk mengampunkan orang-orang yang membuat kemaksiatan di siang hari, dan Allah s.w.t. juga melebarka tangan keampunanNya untuk mengampuni orang-orang yang membuat kemaksiatan di malam hari, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (datangnya hari Kiamat)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Pada hakikatnya, Allah s.w.t. tidak pernah memerlukan para hambaNya, bahkan tidak pernah memerlukan taubat para hambaNya, tetapi para hamba tersebutlah yang justeru memerlukan taubat kepadaNya dan kembali ke pangkuan rahmatNya, kerana tiada nilai kehidupan mereka melainkan dengan kebersamaan Allah s.w.t. dan keredhaanNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya Allah s.w.t. telahpun berfirman (dalam hadis Qudsi): "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu, dan Aku jadikan kezaliman itu haram sesama kamu jua, maka janganlah kamu semua melakukan kezaliman.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua sebenarnya sesat, kecuali sesiapa yang Aku memberi hidayah kepadanya, maka pohonlah hidayah daripadaKu nescaya Aku akan memberi hidayah kepadamu.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua dalam kelaparan melainkan sesiapa yang Aku beri makan kepadanya, maka mintalah makanan daripadaKu, nescaya Aku akan memberi makan kepadaNya.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua asalnya bertelanjang (tanpa pakaian dan penjagaan), melainkan sesiapa yang Aku beri pakaian kepadaNya. Oleh itu, mintalah agar Aku memberi pakaian kepadamu, nescaya Aku akan memberi pakaian kepadamu.

"Wahai para hambaKu. Sesungguhnya kamu semua melakukan kesalahan pada malam dan siang sedangkan Aku Maha Mengampuni sekalian dosa, maka mintalah ampun daripadaKu, nescaya Aku akan ampuni kamu semua.

Wahai para hambaKu. Kamu semua tidak dapat mencapai akan sebarang kemudaratan bagi memudaratkanKu. Kamu semua juga tidak akan dapat mencapai suatu kemanfaatan bagi memanfaatkanKu.

"Wahai para hambaKu. Kalaulah seluruh makhluk daripada yang paling awal, sehinggalah yang paling akhir wujud, manusia dan jin, seluruhnya, bertaqwa dengan taqwa orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu, nescaya tidak akan bertambah akan kerajaanKu lagi.

"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, derhaka kepadaKu dengan sejahat-jahat penderhakaan dalam kalangan kamu, nescaya ianya tidak sedikitpun mengurangkan akan kerajaanKu sama sekali.

"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, berhimpun dan meminta daripadaKu, nescaya Aku akan memberikan setiap daripada kamu, akan perimntaan-permintaan mereka, dan ia tidak mengurangkan sedikitpun daripada apa yang Akum miliki, melainkan seumpama berkurangnya lautan apabila masuk ke dalam laut.

"Wahai para hambaKu. Hakikatnya (dalam seluruh kehidupan ini), hanyalah apa yang berkaitan dengan amalan kamu semua, yang Aku perhitungkan ke atas kamu, kemudian Aku memberi ganjaran terhadap amalan-amalan tersebut. Sesiapa yang mendapati akan kebaikan daripada amalannya, maka hendaklah dia memujiKu (bersyukur kepadaKu). Sesiapa yang mendapati akan keburukan daripada amalannya, maka tiada yang dipersalahkan melainkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Oleh yang demikian, seseorang hamba yang jujur dalam kehambaan kepadaNya, sentiasa merasakan dirinya hina di hadapanNya, dan sentiasa bersegera untuk kembali kepadaNya dengan bertaubat kepadaNya, dan meminta bantuan daripada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. terus membantunya dalam ketaatan kepadaNya.

Apa yang penting, seseorang hamba yang ingin mengorak langkah baru setelah lemas dalam lautan kejauhanNya dengan maksiat dan dosa, hendaklah memulakan perjalanan pulang menujuNya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Seseorang perlulah memulakan perjalanan pulang menujuNya, dengan rasa bersalah kepadaNya, dan rasa hanya memerlukanNya dalam segenap kehidupan, lalu berjalan menujuNya dan masuk ke gerbang taubat dengan penuh keikhlasan, dengan niat, ingin bertaubat hanya kerana mencari redhaNya, bukan sebarang kepentingan yang lain, samda duniawi dan sebagainya.

Seseorang hamba yang ingin kembali kepadaNya, perlulah sentiasa meminta bantuan daripadaNya agar Dia sentiasa membantuNya untuk sampai kepadaNya, kerana tiada siapa yang mampu pulang dan sampai kepadaNya melainkan dengan bantuanNya. Oleh yang demikian, rasalah diri semakin hina di hadapanNya, di sepanjang jalan menujuNya, serta mintalah bantuan daripadaNya. Seseorang hanya sampai kepadaNya dengan bantuanNya, kerana tiada daya untuk melakukan ketaatan dan tiada upaya untuk menolak memaksiatan melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..

Syarat-syarat Taubat

Imam An-Nawawi r.a. berkata: Telah berkata para ulama', bahawasanya, taubat itu wajib bagi setiap orang yang berdosa, samada maksiat dan dosa tersebut antara hamba dengan Tuhannya, yang tiada kaitan dengan hak-hak manusia, dan bagi taubat tersebut, ada tiga syarat:

Pertama: Meninggalkan maksiat tersebut.

Kedua: Menyesal dengan perbuatannya.

Ketiga: Berazam untuk tidak kembali kepaa maksiat tersebut.

Jika seseorang hamba yang ingin bertaubat, tidak mencukupi salah satu daripada syarat-syarat ini, maka tidak sahlah taubatnya.

Jika maksiat tersebut berkaitan dengan hak manusia, maka syaratnya ada empat. Tiga syaratnya adalah syarat yang sebelum ini, dan yang keempat, iaitu dengan meminta halal dan ampun daripada orang yang dilakukan kesalahan kepadanya tersebut. Kalau maksiat itu berkaitan harta, maka kembalikanlah kepada tuannya. Jika berkaitan dengan had qazaf, maka dia dapat menemui tuan hak tersebut, maka hendaklah dia meminta maaf daripadanya, dan jika berkaitan dengan umpatan, maka mintalah halal daripadanya.

Kisah Taubat Seorang Bani Israel dan Pengampunan Allah s.w.t.

Diriwayatkan bahawasanya, di zaman Nabi Musa a.s., ada suatu zaman, dimana berlakunya kemarau. Lalu Nabi Musa a.s. menghimpunkan seluruh Bani Isreal, seramai lebih tujuh puluh ribu orang, untuk solat memohon hujan daripada Allah s.w.t..

Nabi Musa a.s. lalu berdoa: "Wahai Tuhanku. Berilah kami minum, dan limpahilah rahmatMu ke atas kami, kasihanilah kami yang mana, ada dalam kalangan kami, bayi yang masih menyusu, haiwan ternakan yang masih meragut tanaman dan orang-orang tua yang masih ruku' menyembahmu."

Namun, langit masih kering dan kemarau makin panas. Lalu Nabi Musa a.s. berdoa lagi: "Wahai Tuhanku, kalau bukan sebab kedudukanku yang rendah di sisiMu (menyebabkan doaku tidak diperkenan), maka (perkenankanlah) dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. yang akan diutuskan di akhir zaman kelak.

Lalu Allah s.w.t. berfirman: "Bukanlah kerana rendahnya kedudukanmu disisiKu, bahkan kedudukanmu di sisiKu tinggi. Akan tetapi, ada dalam kalangan kamu (Bani Israel), menderhakaiKu selama empat puluh tahun dengan maksiat. Oleh yang demikian, engkau serulah dia agar keluar daripada jemaah yang berdoa ini, kerana dengan sebabnyalah, Aku menegah perkenanmu.

Nabi Musa a.s. berkata kepada Allah s.w.t.: "Wahai Tuhank. Aku ini hamba yang lemah, begitu jugalah dengan suaraku. Bagaimana dapat sampai suaraku kepada seluruh manusia yang seramai tujuh puluh ribu orang lebih ini?"

Lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya: "Kamu hanya wajib menyeru mereka, sedangkan Akulah yang akan meyampaikan seruanmu kepada mereka".

Lalu Nabi Musa a.s. berucap: "Wahai hamba yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. selama empat puluh tahun, keluarlah kamu daripada jemaah ini. Sesungguhnya, dengan sebab kamulah Allah s.w.t. menegah kita semua daripada hujan."

Lalu, hamba maksiat yang berkenaan terasa lalu melihat di sekeliling, namun tiada yang keluar daripada jemaah tersebut. Lalu, dia malu untuk keluar. Jika dia keluar, maka semua orang akan tahu tentang kehinaannya dengan dosa. Jika dia tidak keluar, maka Allah s.w.t. tetap akan menegah mereka daripada air hujan.

Maka, hamba tersebut menyembunyikan wajahnya dalam pakaiannya, menyesali akan perbuatan maksiatnya (selama empat puluh tahun tersebut). Lalu, dia merintih dan bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan berkata: "Wahai Tuhanku. Aku membuat maksiat kepadamu selama empat puluh tahun sedangkan Engkau masih membiarkanku. Kini, aku datang kepadaMu untuk mentaatimu, maka terimalah aku."

Belumpun sempat selesai ucapan doa taubat tersebut, tiba-tiba hujan pun mula membasahi pelusuk bumi.

Nabi Musa a.s. pun bertanya: "Wahai Tuhan. Engkau menurunkan hujan juga walaupun tiada siapa yang keluar dari kalangan kami?"

Allah s.w.t. berfirman: "Wahai Musa. Aku memberi turun hujan dengan sebab dia yang pernah Aku tahankan hujan dengan sebabnya."

Nabi Musa a.s. lalu berkata: "Wahai Tuhan, Tunjukilah aku siapakah hambamu itu?"

Allah s.w.t. lalu berfirman: "Wahai Musa! Sesunggunya Aku tidak membongkar kemaksiatannya takkala dia bermaksiat kepadaKu, bagaimana Aku akan membuka keaibannya (dengan menunjukkan kepadamu siapakah hamba tersebut) sedangkan dia kini telah mentaatiKu? Wahai Musa! Sesungguhnya Aku membenci orang-orang yang mengadu domba (suka membuka aib orang lain kepada sesama manusia), jadi, bagaimana mungkin Aku sendiri menjadi pengadu domba?!" (Dinukilkan dari buku Kitab At-Tawwabin karangan Imam Al-Maqdisi)

Fasal: Sekilas Pengajaran daripada Kisah Tersebut

Allah s.w.t. Maha Penyayang kepada para hambaNya. Biarpun selama empat puluh tahun, si hamba tersebut menderhakaiNya, namun Allah s.w.t. sentiasa menanti kepulangannya dengan taubatnya kepadaNya dengan setulusnya.

Selama tempoh empat puluh tahun tersebut, Allah s.w.t. sentiasa membiarkan hambaNya tesebut, untuk merenungi dan menginsafi kesalahan diri, dengan terus memberi peluang kepada hambaNya agar akhirnya dia kembali bertaubat kepadaNya dan keluar daripada maksiat kepada ketaatan kepadaNya.

Di antara tanda Allah s.w.t. menyayangi para hambaNya, walaupun sudah sekian lama terjerumus dalam makisat kepdaNya, ialah, dengan menyembunyikan keaiban dan maksiatnya daripada para makhlukNya yang lain, demi menjaga kemuliaan diri hamba tersebut, sesuai dengan sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Bahkan, Allah s.w.t. melarang para makhlukNya yang mendapati keaiban daripada hambaNya yang lain, untuk membuka keaiban hambaNya tersebut, kepada makhuk-makhlukNya yang lain, kerana sifat An-Namimah (mengadu domba) itu suatu sifat yang dimurkai oleh Allah s.w.t, termasuklah sifat-sifat yag seumpamanya seperti sifat mengumpat, mencela dan memfitnah sesama manusia.

Dalam kisah tersebut, menunjukkan betapa kecintaan Allah s.w.t. terhadap hamba yang bertaubat setulusnya, bahkan, kedudukan Nabi Musa a.s. di sisiNya yang lebih tinggi daripada kedudukan hamba yang bertaubat tersebut, tidak dijadikan sebab untuk turunnya hujan, bahkan dengan sebab kedudukan si hambaNya yang baru bertaubat itulah, Allah s.w.t. menurunkan hujan.

Ini menunjukkan bukti cinta Allah s.w.t. kepada hambaNya yang bertaubat, sehingga sanggup menjadikan taubat hamba tersebut, menjadi asbab bagi turunnya rahmatNya kepada makhluk-makhlukNya, walaupun masih ada lagi asbab lain, yang lebih mulia untuk dijadikan asbab turunnya rahmat Allah s.w.t..

Ini suatu pengajaran dan dorongan yang bermakna bagi para hambaNya, agar bertaubat kepadaNya, kerana kasih sayang Allah s.w.t. itu meliputi seluruh para hambaNya. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. melarang para hambaNya daripada berputus asa terhadap keampunanNya.




alFaqir ila Rabbihi Al-Jalil


Ahmad Mukhlis Al-Razi

Galakan untuk Baik Sangka kepada Allah s.w.t.






Allah s.w.t. berfirman dalam sepotong hadis qudsi: "Aku pada sangkan hambaKu tentangKu dan Aku bersama denganNya takkala dia mengingatiKu…" (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim),

Imam Al-Asqolani r.a. memberi penjelasan: " Firman Allah s.w.t. dalam hadis qudsi tersebut "Aku pada sangkaan hambaKu tentangKu…" bermaksud: jika seseorang hamba itu menyangka bahawasanya, Aku (Allah s.w.t.) menerima amalannya yang baik, Aku akan memberi pahala ke atas amalannya dan Aku akan mengampuninya takkala dia meminta ampun, maka baginya segala apa yang disangkakannya itu, daripadaKu. Adapun jika dia menyangka terhadapKu sebaliknya (buruk sangka), maka baginya juga apa yang dia sangkakan tentangKu.

"Adapun kefahaman yang paling tepat itu ialah pertengahan, iaitu, sama antara takut dan harap kepada Allah s.w.t.. Seseorang hendaklah berusaha untuk melaksanakan tugas-tugas kehambaannya kepada Allah s.w.t., dengan baik sangka, bahawasanya, Allah s.w.t. akan menerima amalannya, Allah s.w.t. akan mengampunkan kekurangannya dalam amalan tersebut, kerana Allah s.w.t. menjanjikan kepadanya sedemikian, dan Dia tidak mengingkari janji.

"Kalaulah dia berprasangka dengan sangkaan yang buruk, maka ia akan membawa kepada putus asa dari rahmat Allah s.w.t., yang mana ia merupakan antara dosa-dosa besar. Jika dia mati dalam keadaan buruk sangka tersebut, maka itulah yang akan didapatinya setelah kematiannya.

"Adapun sesiapa yang berbaik sangka terhadap keampunan Allah s.w.t., namun dalam masa yang sama, masih sering melakukan maksiat dengan sengaja, (tanpa rasa bersalah), maka dia merupakan seorang yang jahil lagi tertipu."

Sesungguhnya, dalam kehidupan yang serba mencabar ini, seseorang terkadang pasti akan merasa dibebani oleh bebanan masalah dan musibah. Apabila seseorang dirundung musibah, dan tiada lagi asbab untuk keluar dari musibah tersebut, akhirnya fitrah hati seseorang akan mencari Allah s.w.t., Tuhan di sebalik musibah dan ketentuan tersebut.

Namun, ada pelbagai jenis manusia takkala menghadapi lintasan fitrah tersebut. Ada yang tidak mengendahkannya sama sekali dan terus bergantung kepada keupayaan diri akibat keegoan diri dan rasa besar diri.

Ada juga yang mula mencari Allah s.w.t., di sebalik setiap ujian yang berlaku terhadap dirinya, tetapi dalam bentuk menyalahkan Allah s.w.t. terhadap ketentuanNya ke atasnya.

Kadang-kala, luahannya seolah-olah dengan berkata: "Wahai Tuhan, kenapa Engkau bebankan daku dengan musibah? Engkau tidak sayangkan akukah? Kenapa Engkau tidak bantuKu?" dan sebagainya.

Ini merupakan golongan yang biadab dan buruk sangka dengan Allah s.w.t.. Mereka sememangnya tidak pernah mendapatkan sebarang manfaat daripada bersikap buruk sangka terhadap Allah s.w.t.. Setinggi mana buruk sangka seseorang terhadap Allah s.w.t., tidak sama sekali mampu mencabar Allah s.w.t. dan menjatuhkanNya, serta menolak segala ketentuanNya. Bahkan, dengan buruk sangka tersebut, akan datang lebih banyak musibah sesuai dengan prasangkanya yang buruk terhadap Allah s.w.t.

Seseorang yang buruk sangka kepada Allah s.w.t. tidak pernah mampu menggugat kerajaan Allah s.w.t. dan tidak pernah mampu bermusuhan denganNya. Kepada siapa dia ingin mengadukan akan sangkaannya terhadap Allah s.w.t.? Kepada siapa lagi selain daripadaNya, untuk dia mengadu dan meminta pertolongan, sedangkan hanya Dialah yang Maha Berkuasa dalam membantunya takkala ditimpa musibah.

Kadang-kala, manusia sendiri yang lupa, bahawasanya, segala musibah dan ujian, ada hikmah di sebaliknya, samada untuk membersihkan dosa-dosa kita yang telah lalu, atau untuk menyedarkan kita daripada kelalaian, ataupun untuk meningkatkan lagi maqam kita dengan kesabaran. Inilah antara hikmah di sebalik setiap ujian. Yang paling penting bukanlah memahami setiap hikmah di sebalik setiap ketentuan, tetapi yang paling penting ialah, kita berbaik sangka kepadaNya.

Seorang bayi, apabila ditegah oleh ibunya daripada memakan sebarang makanan melainkan susu semata-mata, perlu baik sangka dengan ibunya untuk terus membesar kerana si ibu yang melahirkannya, pasti tidak akan menegahnya daripada mendapatkan kebaikan. Jadi, dia menegah bayi tersebut, pasti ada hikmahnya. Walaupun bayi tersebut tidak tahu hikmah tersebut, tetapi, kecintaan kuat antara si ibu dan anaknya, membuatkan bayi itu mampu berbaik sangka dengan si ibu, kerana meyakini bahawasanya, ibunya sentiasa memberikan yang terbaik untuknya.

Itu antara si ibu dan si bayi, bagaimana pula perbandingannya antara kita, sang hamba yang jauh lebih memerlukan Allah s.w.t. daripada si anak memerlukan si ibu, dengan Allah s.w.t. yang jauh lebih penyayang daripada si ibu tersebut?

Allah s.w.t. tidak menentukan sesuatu ketentuan, melainkan di sebaliknya ada hikmahnya. Seseorang yang buruk sangka akan diharamkan daripada hikmah tersebut, dan akan terus dibebankan sesuai dengan buruk sangkanya kepada Allah s.w.t..

Sesungguhnya, hidup ini tempat ujian. Jika seseorang memahami makna tersebut, pasti akan terus berbaik sangka dengan Allah s.w.t., terhadap setiap ketentuanNya. Buruk sangka malah merugikan diri sendiri, sedangkan dengan baik sangka, seseorang bukan sahaja mendapat pahala daripadaNya, tetapi mendapat layanan yang baik daripadaNya setelah itu, sesuai dengan baik sangkanya kepadaNya.

Jenis ketiga daripada manusia adalah, orang-orang yang sentiasa berbaik sangka dengan Allah s.w.t.. Penghulu golongan ini ialah Saidina Rasulullah s.a.w.. Lihatlah sahaja untaian mutiara doa Baginda s.a.w. takkala dibaling dengan batu oleh penduduk Tha'if. Baginda s.a.w. sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan Kekesih Abadinya.

Takkala Baginda s.a.w. duduk di kawasan kebun, setelah dilempari batu oleh penduduk Tha'If, lalu Baginda merintih di hadapan Allah s.w.t. seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku. Wahai Tuhan bagi orang-orang yang lemah. Kepada siapakah Engkau ingin campakkan aku? Kepada orang-orang yang berkuasa agar mereka mempergunakanku? Atau kepada orang-orang zalim agar mereka menindasku? Asalkan, Engkau tidak memurkaiku, maka (apa sahaja yang Engkau mahu lakukan ke atasku), aku sudah tidak peduli. Sungguhpun begitu, rahmatMu terasa lebih luas bagiku berbanding semua itu (berbanding ujian tersebut)."

Nah, lihatlah untaian munajat Baginda Nabi s.a.w. di hadapan Kekasih Agungnya. Baginda s.a.w seorang nabi, yang hanya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh Allah s.w.t., namun, takkala Allah s.w.t. menentukan ada dari kalangan umatnya yang menentangnya, Baginda s.a.w. terus berbaik sangka dengan Allah s.w.t.. Baginda tahu, semua itu sekadar ujian, untuk melihat kesabarannya. Oleh kerana itu, Baginda s.a.w. bersabda: "Asalkan Engkau tidak memurkaiku, maka aku tidak peduli". Baginda s.a.w. pasrah dengan setiap ujian tersebut, selagimana ianya suatu simbol kecintaan daripada Allah s.w.t.. Segala ujian tersebut, biarpun pahit dirasa, tetapi kemanisan baik sangka Baginda s.a.w. terhadap Tuhannya, menjangkau kepahitan tersebut, sehingga akhirnya Baginda s.a.w. bersabda: "…Sungguhpun begitu, rahmatMu terasa lebih luas bagiku berbanding semua itu (ujian tersebut)"

Kepahitan ujian bisa hilang dengan kemanisan baik sangka seseorang kepada Allah s.w.t., dalam dirinya. Inilah pintu kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Tetapi ingat, baik sangka tidak membawa seseorang kepada sifat malas dalam beramal, dan terus melakukan dosa. Ini kerana, hal sedemikian bukanlah suatu baik sangka, tetapi suatu sikap mempermain-mainkan kemuliaan sifat Allah s.w.t., dan ini lebih buruk daripada buruk sangka itu sendiri. Ini merupakan antara sifat-sifat orang munafiq.

Sesungguhnya, jika seseorang itu baik sangka terhadap Allah s.w.t., pasti baik amal ketaatannya di hadapan Allah s.w.t.. Kalau seseorang itu terus dengan kelalaian dan dosa, dan tidak rasa bersalah sama sekali, namun masih merasakan Allah s.w.t. mahu mengampuninya, itu tidak akan berlaku kerana dia sendiri seolah-olah tidak merasakan dirinya bersalah dan berdosa, jadi dosa apa yang akan diampunkan oleh Allah s.w.t. dari dirinya Bahkan, itulah sikap buruk sangka terhadap Allah s.w.t. dalam bentuk baik sangka. Dia tidak mampu menipu sesiapa melainkan sekadar menipu dirinya sendiri.

Baik sangka kepada Allah s.w.t. itu suatu motivasi untuk meningkatkan lagi kualiti kehambaan dan ketaatan seseorang kepada Allah s.w.t., bukan membawa kepada sifat malas dan sambil-lewa. Jadi, sebarang rasa baik sangka kepada Allah s.w.t. yang boleh membawa kepada malas, haruslah ditangani dengan perasaan takut terhadap Allah s.w.t., sambil mengharapkan rahmat dan bantuanNya.

Baik sangka terhadap kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita merupakan suatu baik sangka yang paling tinggi, kerana ia akan menjadikan seluruh kehidupan kita, pahit manisnya, terasa lazat dengan kelazatan iman dan baik sangka terhadapNya. Usahakanlah berbaik sangka dengan Allah s.w.t., nescaya dengan baik sangka tersebut, suatu masa nanti, akan terzahirlah hakikat Allah s.w.t. itu sememangnya Maha Baik dalam diri kita.






Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil



Ahmad Mukhlis Al-Razi






ZikruLlah

Photobucket

Ya Allah

Photobucket

MyCartopia.com Click here to get one